copypaste : pelajar ditemui mati dalam tandas

MASJID TANAH: Sekumpulan pelajar yang mahu menggunakan bilik air wanita gempar apabila menemui mayat seorang pelajar dalam keadaan meniarap selepas didakwa mengadu sakit perut di Kolej Matrikulasi Melaka (KKM) Londang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mayat pelajar jurusan Sains Fizikal, Madihah Fauzi, 19, dari Kempas Baru, Johor Bahru, ditemui di dalam tandas berkunci sebelum mereka bertindak memecahkan pintu untuk membantu mangsa mendapatkan bantuan kecemasan.

Bagaimanapun, pemeriksaan anggota paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba tidak lama kemudian mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Sebelum itu, mangsa yang gagal hadir kuliah dipercayai mengadu kepada rakan sebiliknya mengalami sakit dalam perut pada malam Isnin lalu dan perkara berkenaan sudah dilalui sejak sekian lama, namun enggan mendapatkan rawatan apabila diminta berbuat demikian.

Seorang kakitangan kolej yang enggan dikenali berkata, dia sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan berhampiran sebelum dikejutkan dengan jeritan beberapa pelajar wanita yang berada tidak jauh dari situ.

Menurutnya, dia juga berasa hairan kerana pelajar terbabit memanggil namanya berulang kali dan meminta datang ke tempat mereka menyebabkan timbul perasaan curiga mungkin berlaku sesuatu yang buruk. “Kami terus masuk ke dalam bilik air dan dari bawah pintu ternampak badan manusia terbaring, tetapi gagal untuk membuka pintu tandas untuk membawanya keluar disebabkan pintu terkunci dari dalam.

“Dalam keadaan kelam-kabut dengan apa berlaku, saya menyuruh beberapa pelajar memanggil seorang pensyarah kanan bagi memaklumkan perkara itu sebelum mereka memecahkan pintu bilik air berkenaan.

“Kami terpaksa ambil keputusan memecahkan pintu bilik air selepas gagal membukanya dari luar lalu membawa pelajar itu keluar dari tandas untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Kakitangan itu mendakwa pelajar terbabit sudah meninggal dunia sebaik mangsa dikeluarkan dari tandas berkenaan sementara menanti bantuan kecemasan tiba.

“Kami semua sangkakan dia (mangsa) lemas dalam bilik air sebab pagi tadi dia kata sakit perut dan terus ke bilik air tapi tidak muncul selepas itu hinggalah mayatnya ditemui tadi,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa yang enggan disiarkan namanya, berkata dia ternampak mangsa muntah pada malam Isnin lalu sebelum memaklumkan mungkin mengalami gastrik disebabkan tidak makan.

“Saya tidak pasti apa yang berlaku, dan mungkin apendiknya sudah pecah dalam perut,” katanya.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Fauzi Ibrahim, 50-an, ketika ditemui enggan mengulas lanjut sewaktu menuntut jenazah anaknya untuk dibawa ke kampung halamannya di Johor Bahru bagi urusan pengebumian.

Beliau turut meminta jasa baik pihak polis dan kolej agar tidak menghantar jenazah anaknya ke hospital untuk bedah siasat kerana beranggapan arwah meninggal dunia disebabkan takdir.
Tidak tahu mangsa hidap sakit kronik

MASJID TANAH: Pengurusan Kolej Matrikulasi Melaka, Londang, dekat sini, menyifatkan kematian Madihah Fauzi, 19, sebagai kejadian mengejutkan berikutan pihak berkenaan tidak dimaklumkan mangsa menghidap penyakit dalaman yang kronik.

Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) kolej itu, Khairuddin Norazri, berkata kejadian yang menimpa Exco Majlis Perwakilan Pelajar berkenaan adalah kes kematian biasa dan ia berlaku di luar pengetahuan pihak pengurusan.

“Kami sangat terkejut dengan apa yang berlaku kerana sebelum itu, mangsa mengadu sakit perut biasa dan masih boleh mengawal diri sebelum kejadian malang itu berlaku.

“Sebelum itu, rakan sebilik mangsa ada memberitahu kepada saya bahawa mangsa ada bercakap dengannya agar jangan risaukan dirinya (mangsa) kerana akan ke klinik sebelum terus menuju ke bilik air.

“Pihak kolej memang tidak pernah mengabaikan kebajikan pelajar, malah baru-baru ini kami menerima kemasukan pelajar yang menghidap penyakit kronik iaitu kanser bagi meneruskan pengajian sehingga pelajar itu meninggal dunia,” katanya.



source: cikgu kimia, group shehdiLaNun kimi'A

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bila Si Dia Lupa Tarikh Penting.

perempuan mata beso ni cantik benornye..

Bila Lelaki Kaya Bertemu Perempuan Miskin atau Sederhana.